Monday, October 19, 2009

BAGAN PINANG DAN PERANG HUNAIN


Keputusan PRK Bagan Pinang baru-baru ini telah memihak kepada parti kebangsaan iaitu UMNO. Ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Bagan Pinang merupakan kawasan BN sejak dari dulu lagi. Calon yang diletakkan UMNO bukanlah sembarangan orang. Seorang tokoh politik terkenal, bekas MB Negeri Sembilan, bekas menteri kerajaan dan salah seorang bekas naib presiden UMNO. Kekuatan calon tersebut telah memenangi hati rakyat. Walaupun calon BN itu telah terpalit dengan amalan rasuah yang telah mengakibatkan beliau digantung daripada menjadi ahli UMNO. Kes rasuah beliau jelas sekali tidak memberi impak negatif kepada beliau. Hal ini menandakan UMNO telah berjaya menyembunyikan jenayah daripada pandangan rakyat. Syabas UMNO!!! Kerana berjaya menipu rakyat. Dan tahniah kerana berjaya menjulang rasuah.
Kekalahan PAS di Bagan Pinang akan menjadi satu pengajaran dan post mortem PRK tersebut. Setelah kita memenangi 7 PRK selepas PRU ke 12, kali ini tibalah masa untuk kita kalah pula. Untuk menilai kelemahan diri dan memperbaikinya. Hal ini merupakan satu momentum baru kepada pakatan rakyat untuk memenangi lebih banyak negeri pada PRU ke 13. Nyatalah kekalahan ini adalah sebagai madrasah diri kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Seketika, kita imbau kembali kisah peperangan HUNAIN pada zaman Rasulullah.
Setelah ummat Islam memperoleh banyak kemenangan dalam peperangan selepas peristiwa khandaq. Ummat Islam makin berkembang. Peperangan demi peperangan dimenangi. Tentera Islam bertambah ramai. Masa kian berlalu, Islam makin tersebar sehinggalah terjadinya peristiwa PEMBUKAAN KOTA MEKAH. Nabi Muhammad dan ummat Islam berjaya memasuki Kota Mekah dengan selesa walaupun terdapat sedikit tentangan dari kafir Quraisy. Nabi bertawaf dan membersihkan kaabah daripada patung berhala. Azan dilaungkan dan penduduk Kota Mekah di ampun kecuali orang-orang yang sangat kuat memusuhi Islam seperti Hendon, isteri Abu Sufian. Tetapi, akhirnya Hendon di ampunkan oleh Rasulullah. Ramai penduduk Mekah memeluk Agama Islam. Ummat Islam bertambah dan tentera Islam juga menjadi ramai.
Pada ketika yang sama,seorang pahlawan Quraisy telah dapat meloloskan diri keluar dari Mekah semasa penawanan Kota Mekah. Beliau ialah Ikrimah Abu Jahal. Ikrimah meminta bantuan penduduk Ghatfan untuk memerangi orang Islam. Maka, penduduk Ghatfan bersiap sedia untuk berperang. Berita tersebut sampai ke pengetahuan Rasulullah. Baginda memerintahkan Ummat Islam bersiap sedia dan berperang diluar Kota Mekah. Tentera Islam bersemangat untuk berperang. Semasa dalam perjalanan, tentera Islam begitu yakin untuk menang kerana mereka telah memperoleh banyak kemenangan sebelum ini walaupun jumlah mereka tidaklah sebanyak tentera dalam peperangan kali ini. Mereka terlalu yakin akan mencapai kemenangan sehingga lupa bahawa kemenangan mereka sebelum ini bukan bergantung kepada bilangan tentera tetapi atas bantuan Allah. Ketika peperangan, ummat Islam diperangi habis-habisan. Mereka hampir kalah walaupun bilangan mereka ramai. Ramai tentera yang lari lintang pukang. Keadaan menjadi semakin kacau. Pihak musuh mengejar ummat Islam yang lari. Seorang panglima Islam menjerit dan mengarah semua tentera Islam kembali ke medan perang semula. Pada waktu itulah mereka berjuang dan kembali kebergantungan kepada Allah.
Pada perang itu, Islam telah menang walaupun satu ketika Islam dilihat hampir terkujur. Sikap tentera Islam yang terlalu yakin dan terlupa kepada pertolongan Allah menyebabkan Islam hampir kalah. Kekalahan Pas di PRK Bagan Pinang baru-baru ini adalah untuk menjadi ingatan kepada kita agar jangan berasa sedap duduk dengan kemenangan berturut-turut sebelum ini. Perbaiki kelemahan dan bina strategi untuk membebaskan Malaysia daripada cengkaman penjajahan minda barat yang di dokong UMNO dan Barisan Nasional. Kekalahan bagan Pinang menjadi satu momentum baru Pakatan Rakyat untuk terus melangkah gagah. Semoga Islam terus gemilang dan tetap tinggi menjulang.

No comments:

Post a Comment